Tuesday, November 2, 2010

Sepi Semilir Awan

Sepi; sunyi dan sendiri
Seakan tarian semilir awan
Bisa berbentuk ilusi; aku khayalkan yang berbentuk "smiley"
Mohon datang ke sisi.
Jangan jauh, kerana aku terlalu sepi untuk sendiri.


Wednesday, October 27, 2010

Kamu, Bangkitlah

Lemparkan rusuhmu.
Sekuat mungkin, sejauh mungkin,
selaju tangan kau kesat,
di pelupuk matamu,
usah pernah malu.

Menangislah

Redakan rusuhmu.
Biar yang tinggal cuma pasrah.
Kerana saat ini,
kau sebenarnya keras menghukum,
dirimu yang sebenarnya,
tidak bersalah!

Thursday, October 14, 2010

Tentang Semalam

Semalam kau datang.
Aku saksi sengsaramu.
Sendumu sudah cukup melumati seluruh jiwa lelakiku.
Sakitmu juga sakitku,
dan titis airmatamu bisa membunuhku.

Wednesday, October 13, 2010

Dendang Luka

Aku tidak pernah tahu bingit gagak itu,
sebenarnya dendang luka.
Cuma semalam, kala aku sedar,
dahan berpaut, dipotong hingga ke akar.

Wednesday, August 4, 2010

Ingin Bebas

Langkah ini bersatu rusuh
Lewat susuk samar yang membekas,
merampas waras.

Di sini
ruang khayal ini seakan kukuh mengikat
Menjerat.

Dan, kalaupun aku tumbang ke tanah
Ini bukan hentian akhir
untuk aku terbenam, tertanam.


Kerana saat ini
Aku masih punya daya untuk bangkit
walau dengan kudratku, yang terakhir.

Friday, July 2, 2010

Sinar di hujung gelita

(buat seorang teman yang pernah mengimpikan indah pelangi, muncul di ruang sepinya)

Resah itu kamu dan juga dalam aku, sahabatmu.
Dulunya kita pernah berbicara, di hujung senja
Katamu, “ Jika bahagia itu memerlukan korban, kusedia”
Dan kita masih memandang ufuk merah yang sama.

Semalam,
Kita kembali berbicara, lewat embun dan cangkir masih tersisa,
Katamu “telah kutemu pelangi hati dan demi tuhan, indahnya kupelihara, ke hujung usia”
riangmu menceritakan segala, kala bertemu sinar di hujung gelita.

Sekadar mengingatkanmu sahabat,
Bahagia itu, kau yang mencorak dan pertahankan,
“walau dengan nyawa”, ulang katamu, di hujung senja, ufuk menyala.

Wednesday, June 30, 2010

Pergi Jauh

Kuseru aku berlari
Dalam rembang menyala
Amarah, benci, dendam dan hasutan
walau bersatu, kurempuh.

Biar terbakar nafsuku
Biar hancur langkahku
Biar tersiat kulitku
Biar terpadam pandangku
Biar terhenti nafasku

dan gundah kau cipta,
beban, tanggung ke mati.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...