Monday, June 28, 2010

Kad hari lahir, ros kering, satu harapan dan kenang terindah

Sebetulnya hari ini adalah antara hari yang amat mengembirakan aku, saat membelek-belek kad kahwin seorang teman di sudut meja dan aku yakin, majlis begini yang akan dapat mempertemukan kembali kebanyakkan teman-teman lama, setelah hampir belasan tahun terpisah.

Saat sampai, sudah ramai teman-teman yang awal tiba. Kami bersalam, ketawa dan berpelukan meraikan ikatan persahabatan yang panjang. Di ruang ini, masing-masing punyai cerita sendiri yang menambahkan seri perbualan kami dan sesekali deraian tawa pecah saat mengenang cerita-cerita lama. Aku menikmati saat-saat ini, sungguh. Dalam riuh tawa itu, aku sedari adanya sepasang mata yang memerhati. pandangan yang pernah kukenal? aku sedikit kabur.

Majlis usai. Ketika aku ingin membuka pintu kereta, seorang kanak-kanak perempuan menarik bajuku dan menghulurkan sekotak hadiah yang dibalut cantik. Aku membuka. Di dalamnya punya surat-surat lusuh luahan rasa cinta yang dipendam lama. Aku faham akan sengsara ini kerana aku juga pernah menanggungnya. Di dalamnya juga punya kad-kad hari lahir serta sekuntum ros kering yang tidak terkirim. Pasti semuanya untukku. Bukti betapa mendalam perasaan cintanya. Menunggu walau tanpa pasti. Cuma majlis seperti ini yang mungkin mempertemukan kami. Tapi tidak pada aku kerana aku langsung tidak mengenali pemilik hadiah ini.

Aku sedikit keliru. Sejujurnya, aku juga mengharapkan punya saat-saat seperti ini. Aku berusaha untuk menemui pengirimnya.

Dan aku terjaga.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...